Soalan Lazim
Korban ialah binatang sembelihan daripada unta, lembu atau kambing, atau pun sejenisnya untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT dari hari raya hingga hari tasyrik.
Sesiapa sahaja daripada kalangan muslim boleh mengerjakan ibadah korban.
Ada 3 jenis haiwan yang boleh disembelih iaitu:
- unta, boleh diperuntukan bagi 7 orang (bahagian),
- lembu, boleh diperuntukan bagi 7 orang (bahagian), dan
- kambing, boleh diperuntukan bagi seorang (bahagian).
Haiwan itu sempurna sifatnya dan antaranya cirinya adalah ia tidak buta penuh atau sebelah, gigi tidak ada yang patah, telinga tidak terpotong, bulu yang sihat dan tidak kusam, kaki tidak pincang, ekor tidak terpotong, masih memiliki dua biji buah zakarnya.
Disunnahkan bagi orang yang berkorban untuk menyembelihkannya atau menyaksikannya, walaupun boleh disembelihkan oleh orang lain,
Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: “Fatimah, berdirilah dan saksikan haiwan sembelihanmu itu. Sesungguhnya kamu diampuni pada saat awal titisan darah itu dari dosa-dosa yang kamu lakukan. Dan bacalah: Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah SWT, Rabb alam semesta”. (HR. Abu Daud 2810 dan At-Tirmizi 1521).
Disunnahkan untuk tidak memotong rambut dan kuku mulai masuk 10 Zulhijjah sampai selesai waktu penyembelihan korbannya, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: “Jika masuk bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih korban, maka hendaklah dia tidak memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya.” (H.R. Muslim). Dan disunnahkan juga untuk makan sedikit daripada daging korban yang disembelihkan untuknya.
Daripada Anas bin Malik:
كان النبي صلى الله عليه وسلم يضحي بكبشين أملحين أقرنين فذبحهما بيده
Rasulullah SAW menyembelih dua ekor domba yang gemuk lagi bertanduk dengan tangannya.
Berdasarkan hadis ini disunnahkan bagi kita untuk menyembelih dengan tangan kita sendiri, akan tetapi tidak semua orang mampu melakukan penyembelihan, oleh sebab itu kita disunnahkan pula untuk melihat saat penyembelihan, sehingga sepakat para ulama membolehkan wakalah dalam korban. Kemudian wakalah ini dapat dilakukan dengan menyebutkan: “saya wakilkan penyembelihan korban fulan bin fulan kepada tuan?”. Lalu dijawab oleh penyembelih: “saya terima”.
Waktu penyembelihan ialah bermula dari waktu selesai 2 rakaat solat hari raya Aidiladha dan khutbah yang ringkas sehingga akhir hari tasyrik.
- Binatang ternak seperti unta, lembu atau kerbau, kambing atau domba.
- Telah sampai umur yang telah ditetapkan syara’
- Tanpa ada cacat ataupun aib pada binatang korban
- Niat ketika menyembelih korban.
Menyembelih haiwan korban tidak semestinya jantan, betina juga dibolehkan, namun jantan adalah lebih baik, kerana pada kebiasaannya jantan lebih besar dan lebih banyak dagingnya. Lalu jika yang akan disembelih adalah betina yang sedang hamil maka dalam Mazhab Syafie tidak diperbolehkan untuk disembelih.
Maka dia perlu menukarkan korbannya itu dengan yang jantan, akan tetapi apabila dia sudah berusaha untuk mencari yang jantan untuk ditukarkan dan dia masih tidak mendapatkannya maka boleh baginya untuk menyembelih korban yang sedang hamil tersebut dengan mengikut pendapat ulama mazhab yang lain. Walaupun dalam mazhab Imam Syafie tidak diperbolehkan.
Daging korban itu ada 2 jenis sebagaimana korban itu juga 2 jenis, ada yang wajib dan ada yang sunnah. Jika daging kurban itu sifatnya wajib maka tidak boleh diberikan kepada yang bukan muslim, sedangkan daging korban yang sifatnya sunnah maka boleh diberikan kepada bukan muslim, akan tetapi keutamaan lebih dahulu diberikan kepada yang muslim. Dalam hal ini Allah berfirman:
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil (qs. Almumtahanah:8)
Penafian berkaitan Soalan Lazim : Soalan dan jawapan yang dipaparkan adalah berbentuk umum, tidak khusus kepada situasi tertentu. Anda amat disarankan untuk merujuk kepada orang alim berhampiran dengan anda untuk persoalan khusus anda. Lebih baik dan utama jika merujuk kepada mursyid anda sendiri.